KITA ADALAH HERO ?
Oleh : ROSLI ALPIN
BUKAN bermakna kita sudah menjadi 'hero' apabila kita mengutarakan sesuatu isu lebih-lebih lagi kalau ianya berkait rapat langsung dengan kepentingan dan keperluan masyarakat amnya.
Ada ketikanya seseorang itu perlu menyedarkan dan mengingatkan 'individu' tertentu agar sesuatu perkara tersebut dapat diambil perhatian yang sewajarnya. Sama ada sesuatu permasalahan itu sengaja atau tidak disedari langsung terbiar dan terkubur begitu sahaja tanpa sebarang tindakan yang diambil, maka masalah itu akan berterusan dan berlarutan tanpa berpenghujung.
Di mana silap dan salah sekiranya sesuatu perkara itu diluahkan untuk bukan setakat didengari tetapi memerlukan tindakan dan pembelaan yang sepatutnya lantas ia dianggap sebagai 'hero'?.
Sampai bila masyarakat perlu 'mengunci mulut' tanpa mengetengahkan apa yang terbuku dan terpendam sejak sekian lama?. Pepatah yang berbunyi "Jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilambung ombak" membawa makna tersirat agar kita harus berani menerima dan mendengar kritikan dan teguran walaupun ada di antara kritikan tersebut yang sukar diterima.
Bagi seseorang yang waras dan berfikiran terbuka ia akan pasti menilai sejauh mana kebenaran perkara tersebut sama ada perlu diambil perhatian atau sekadar omong kosong.
Pemerhatian serta penghayatan yang tajam dan baik terhadap sesuatu isu yang dilontarkan amat diperlukan oleh setiap orang supaya penilaian yang akan dilakukannya nanti juga akan menjadi tepat dan baik langsung dapat membezakan mana satu kritikan yang berupa luahan, ketidak puasan hati, kutukan, cercaan atau pun makian.
Di antara kritikan tersebut ambil dan berilah perhatian kepada yang baik dan lemparlah juah-jauh mana yang tidak mendatangkan faedah apalagi jika ianya boleh menjatuhkan martabat seseorang.
Memadailah dengan seseorang itu menyatakan apa yang benar dengan kejujuran tanpa rasa takut dan terancam dan juga tanpa memerlukan ia menjadi seorang 'hero'. Dalam konteks ini, siapa sebenarnya yang berhajatkan untuk menjadi seorang hero, sipengkritikkah atau orang yang mempertahan serta mempertikaikan kritikan terutamanya dia mempertahankan bagi pihak seseorang yang berkemungkinan terdapat kepentingannya disitu?
Janganlah begitu mudah sekali untuk melabel atau menuduh yang kononnya sipengkritik tersebut ingin menjadi terkenal mahu pun dikenali sebagai 'hero' sekiranya ada sesuatu perkara yang hendak diutarakan sedangkan dia sendiri tidak memahami apa pokok pangkal isunya.
Fahami dan perhalusilah apakah tujuan sebenar perkara yang hendak disampaikan sebelum menentukan keputusan lebih-lebih lagi apabila isu tersebut melibatkan kepentingan orang ramai dan bukannya meraih sokongan mahu pun pengaruh dan sekaligus ingin menjatuhkan pihak lain lantas bertindak sebagai 'hero' yang lebih banyak mendatangkan mudarat daripada kebaikan.
Dalam situasi begini sesiapa sahaja boleh mengandaikan bahawa terdapat semacam perasaan dengki dan irihati daripada orang yang melemparkan gelaran 'hero' untuk orang lain tanpa diketahui niat sebenarnya. Kenyataan dan kritikan sebenarnya tidak memerlukan seseorang itu bergelar 'hero' kerana dalam keadaan sebenar ianya tidak memerlukan gelaran tersebut.
Berlainan sekali dengan filem, ia sememangnya memerlukan seorang 'hero' untuk melakonkan watak berpandukan skrip yang telah diatur mengikut arahan pengarah dan jalan ceritanya ada yang menyentuh kehidupan manusia dan ada yang rekaan belaka.
Tetapi harus diingat didalam sesebuah lakonan samada heronya menang atau sebaliknya filem tersebut ada jalan penghujung dan kesudahan ceritanya yang kesemua penonton pastinya faham apa mesej yang hendak disampaikan melalui filem tersebut.
Sedangkan drama dan sandiwara pun ada penyelesaian serta jalan kesudahannya, bagaimana pula dengan realiti kehidupan serta keperluan seharian masyarakat yang mana masih ada perkara lagi yang belum diselesaikan manakala di sesetengah tempat jalan ceritanya pun belum lagi bermula?.
Usahlah bimbang kerana didalam dunia ini semua manusia adalah 'hero' yang kalau ditafsirkan secara lebih meluas lagi hampir sama maksudnya dengan 'pemimpin' yang boleh menjadi hero bagi diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat sehinggalah keperingkat nasional kita semua adalah 'HERO'.
Last Updated on Sunday, 24 January 2010 18:53
Sunday, January 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment