Written by Admin
Monday, 26 October 2009 00:18
Oleh: ROSLI ALPIN
PEMBUKAAN rancangan penempatan peneroka di Silabukan Peringkat 1, 2, 3 dan 4 bermula sejak 1972 telah membawa banyak perubahan kepada tapak tamaddun awal Kerajaan Idahan Tua Tag Bangi di Merendung, kira-kira 25 kilometer daripada Bandar Lahad Datu yang sebelum ini dikenali dengan nama Kerugau (Batu Karang).
Para peneroka menikmati pelbagai kemudahan prasarana seperti bekalan elektrik, jalan raya berturap, kawasan perumahan yang selesa, kemudahan perhubungan telefon, klinik kesihatan, sekolah dan sebagainya.
Namun kini sudah hampir 37 tahun rancangan ini diwujudkan, namun penduduk masih bergantung kepada air hujan, telaga dan sungai untuk kegunaan harian disebabkan tidak ada sistem bekalan air paip sekalipun janji berkenaan diperbaharui pada setiap pilihanraya umum.
Pemimpin silih datang dan pergi. Yang pergi belum sempat mengotakan janji, yang baru datang tidak mengetahui janji pemimpin terdahulu sehingga menyebabkan janji berlapik janji bagaikan kek lapis Sarawak yang enak dimakan tetapi sukar dibuat.
Sehubungan itu, para penduduk di empat ranah rancangan penempatan yang bangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) ini merayu ehsan Adun Tungku, Datuk Suhaili Said dan Ahli Parlimen Silam, Salleh Haji Kalbi agar dapat menunaikan janji pemimpin BN sejak pilihanraya umum 1976 untuk membekalkan air bersih yang dirawat.
Penduduk Rancangan Silabukan dan kawasan perkampungan yang berhampiran dengannya pasti mengetahui dan terpegun melihat sebuah menara tangki air besar terpacak megah yang ketinggiannya mungkin mencecah 30 kaki lebih berhampiran dengan jalan persimpangan masuk ke Peringkat 1 yang kalau diperhatikan bagaikan mercu tanda baru untuk Rancangan Silabukan.
Namun persoalannya, tangki berkenaan didirikan hanya untuk kegunaan klinik kesihatan yang berdekatan dan bukannya untuk penduduk kampung yang merintih pedih setiap musim kemarau ketika YB dan Ahli Parlimen mampu menyuci kereta dan mandi tiga kali sehari.
Betapa bertuahnya penduduk setinggan di Kampung Bugis Batu 1 yang menikmati kemudahan air paip walaupun mereka tinggal di kawasan setinggan sedangkan semua peneroka rancangan Silabukan memiliki geran yang sah, namun hanya mampu menikmati air daripada tangki yang berkarat!
Rancangan Silabukan adalah Legasi Tun Razak yang kini sedang nazak namun mampukah anaknya, Perdana Menteri Malaysia ke enam, Datuk Seri Najib meneruskan visinya untuk melihat penduduk Silabukan mendapat bekalan air bersih daripada Pakej Rangsangan RM1 Bilion yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah!
Last Updated on Monday, 26 October 2009 06:34
No comments:
Post a Comment