Friday, February 5, 2010




Saudara Pengarang,


JIKA betullah dua YB yang digelar 2S (Datuk Suhaili Said dan Salleh Haji Kalbi) atau ‘Syok Sendiri’ ini bergaduh gara-gara sumbangan dua buah tangki air untuk masjid Al Mukminin di Kampung Remang Lahad Datu yang merupakan keperluan jemaah untuk menunaikan solat, adalah tidak wajar sama sekali Datuk Suhaili Said untuk menolak pemberian tersebut daripada Salleh Haji Kalbi.

Bagi mereka yang tinggal dan berada di kawasan DUN Tungku, kesemua penduduk hanya bergantung harap sepenuhnya kepada air hujan. Sepatutnya mereka berganding bahu dan berusaha sedaya upaya berjuang untuk memberikan serta membekalkan penduduk di kawasan ini dengan bekalan air paip bersih terawat.

Bukan masanya untuk bertengkar apalagi bergaduh kerana mandat dan kepercayaan telahpun diberikan agar kemajuan dan taraf hidup rakyat dapat dibangunkan yang sebenarnya masih lagi memerlukan perhatian dari kedua-dua YB ini.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya mereka tidak sehaluan dan tidak dapat bekerjasama didalam hal yang sebegini kecil. Perbalahan seumpama ini akan merugikan rakyat sekiranya tiada berpenghujung, sedangkan merekalah harapkan rakyat untuk merubah dan membawa kemajuan kampung, kawasan dan daerah amnya.

Apa guna berbalah, betulkanlah niat bekerja untuk rakyat barulah dikira ibadah. Duduk satu bumbungpun boleh bergaduhkah? Apa macambah orang kita ini? Kalau beginilah jalan ceritanya, samalah macam "sekumpulan ketam di dalam baldi saling jatuh menjatuhkan apabila ketam yang lain cuba untuk merangkak naik."

Diringkaskan cerita, bangsa lain sudah maju ke hadapan kita masih lagi di takuk lama. Minum air hujan di dalam tangki yang berkarat ...Alahai YB!

Salam Hormat,

ROSLI ALPIN



Last Updated on Wednesday, 23 December 2009 13:57

No comments:

Post a Comment