Tuesday, January 19, 2010

ADA BLOGGER TANYA SIAPA SAYA?



Oleh: ROSLI ALPIN

RUPA RUPANYA kenyataan dan luahan yang saya tujukan khas terutamanya kepada Adun Tungku, YB Ustaz Suhaili Said dan Ahli Parlimen Malaysia (Silam) YB Haji Salleh Kalbi selama ini berkaitan dengan kesengsaraan dan keperitan penduduk khususnya di kawasan DUN Tungku selama 35 tahun hanya bergantung harap pada tangki air, air perigi serta air sungai yang merupakan sumber utama untuk meneruskan kehidupan seharian telah menyebabkan ada 'orang' tidak berasa senang dan mempertikaikan siapa saya.

Sekiranya sedari kecil lagi perjalanan hidup dan kehidupan lebih-lebih lagi ketetapan saya bukan di daerah Tungku , untuk 'orang' ini lebih baik ikuti sedikit cerita dan kisah kehidupan masyarakat di kawasan tempat saya membesar dan dari mula saya kenal apa itu erti pengorbanan orang tua ( sekitar tahun 70-an) sehinggalah sekarang ini.

Saya adalah salah seorang daripada beribu-ribu anak yang telah dibesarkan di kawasan DUN Tungku ini dan tidak sanggup lagi melihat keperitan yang dialami berhubung dengan masalah air yang kami warisi daripada ibu bapa kami yang sungguh menyayat dan memilukan hati.

Hati siapa tidak pedih dan terharu apabila seorang ayah sanggup berjalan kaki mendukung anak manakala si ibu pula sanggup menyorong kereta sorong yang jauhnya berbatu-batu hanya kerana membawa pakaian kotor untuk dibasuh di sungai serta beberapa gelen kosong untuk bekalan air setakat makan dan minum harian pada musim kemarau kerana tangki air di rumah pada ketika itu sudah kering kontang bagaikan Gurun Sahara.

Dalam penulisan blognya 'orang' ini menyamakan isu yang saya ketengahkan ini sebagai info sampah dan saya telah memburuk-burukan ADUN Tungku yang bersaiz besar. 'Orang' ini mengeluarkan perkataan bagaikan kurang siuman sehinggakan sanggup menyamakan masalah yang kami hadapi selama ini sebagai sampah.

Kemungkinan dia lahir ('orang ini') dan dibesarkan dalam keluarga yang berada dan tidak payah bersusah payah untuk berjalan kaki berbatu-batu jauhnya ke sungai untuk makan, minum dan mandi tatkala musim kemarau melanda.

Sejauh manakah terjejasnya kedudukan dan imej kedua-dua YB ini berhubung dengan kenyataan yang berupa luahan hati seorang anak kampung yang memperjuangkan nasib bangsanya tanpa memikirkan kepentingan individu?

'Orang ini' tidak tahu betapa derita dan sengsaranya kehidupan ibubapa kami selama ini sanggup membesarkan kami dalam keadaan berlapang dada walaupun sebenarnya hati pedih menangis mengharapkan bila masanya lagi bekalan air paip bersih terawat memasuki di setiap rumah di kawasan Tungku ini yang sudah terlalu lama dinanti-nantikan.

Akhir kata untuk 'orang ini,' terimalah pepatah yang baru saya cipta ini "Kalau kau tidak tahu, bertanyalah dengan yang tahu, jangan kau pura-pura tahu yang sebenarnya kau tidak tahu apa yang aku tahu".

Last Updated on Tuesday, 19 January 2010 12:55

No comments:

Post a Comment