Written by Admin
Sunday, 10 January 2010 14:37
Saudara Pengarang,
SURAT ini saya tujukan kepada Ahli Parlimen Malaysia (Silam) YB Haji Salleh Kalbi, Adun Tungku, YB Ustaz Suhaili Said dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman serta semua jabatan Kerajaan yang terlibat dengan projek pembangunan infrastruktur.
Untuk makluman para YB, setahu saya, penempatan penduduk/peneroka di Rancangan Silabukan bermula seawal 70-an lagi. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak Kerajaan di bawah pemerintahan BN kerana di sepanjang tahun-tahun kehadapan selepas era 80-an banyak perubahan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan di peringkat kampung-kampung termasuklah Rancangan Silabukan Peringkat 1, 2, 3 dan 4 ini.
Di antara pembangunan yang telah dikecapi oleh penduduk/ peneroka ialah penyambungan bekalan elektrik dan menaiktaraf jalan kampung juga tidak terkecuali jalan-jalan masuk di setiap Rancangan tersebut.
Namun saya merayu kepada pihak Kerajaan melalui jasa baik YB-YB agar kami mendapat bekalan air paip yang bersih kerana selama hampir 35 tahun kami hanya bergantung harap pada air hujan semata-mata, bagaikan kampung kami berada di penghujung Gurun Sahara!.
Keperitan ini amat terasa apabila terjadinya musim kemarau yang berpanjangan, kami terpaksa bergegas ke sungai Silabukan yang agak jauh dari penempatan kami dan ianya amatlah menyusahkan kehidupan penduduk.
Jangka masa 35 tahun amatlah terlalu lama untuk bergantung harap kepada air hujan semata-mata dan dalam masa yang sama terpaksa memberi undi kepada calon BN sekalipun terus-menerus menaburkan janji palsu!
Semoga kisah yang dipaparkan ini mendapat rasa simpati di hati YB, lebih-lebih lagi Kerajaan Malaysia kita sekarang ini di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengutamakan konsep 1Malaysia 'Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan' namun gagal diterjemahkan oleh kedua YB ini.
Sekian dan Terimakasih,
ROSLI BIN ALPIN
(Anak Peneroka Rancangan Silabukan Peringkat 4)
Last Updated on Sunday, 10 January 2010 15:34
No comments:
Post a Comment