Sunday, January 17, 2010
ITU BUKAN KITA PUNYA?.
Written by Admin
Sunday, 06 December 2009 11:57
Oleh: ROSLI ALPIN
APA sahaja yang kita kejar dan kita miliki di dunia ini samada harta, kekayaan, kemewahan, pangkat, kuasa serta jawatan sebenarnya buklanlah mutlak milik kita. Di saat meniti usia yang masih berbaki lagi ini mungkin ada di antara kita sudah pun berada di tempat dan kedudukan tersebut.
Ya memang betul, ketika umur masih di kandung badan semua itu adalah menjadi kepunyaan dan kesayangan kita. Siapa pun tidak dapat memastikan esok masih ada untuk kita dan seandainya ditakdirkan kita mati esok, esok masih ada namun kita pula yang sudah tiada.
Rentetan dari peristiwa itu, maka beralihlah pula kekayaan serta kemewahan tadi kepada pewaris yang terdekat iaitu isteri dan anak-anak. Selepas isteri dan anak meninggal dunia, cucu pula jadi pewaris harta dan selepas itu turun lagi kepada cicit dan sesudah itu menjadilah ianya harta turun temurun dan begitulah perjalanan manusia dengan harta-hartanya.
Sesungguhnya tiada apa pun yang boleh kita harapkan dari harta, kekayaan, kemewahan, pangkat, kuasa dan jawatan melainkan semuanya itu hanyalah pinjam-pinjaman buat sementara waktu sahaja dan paling banyak pun harta yang boleh kita bawa mati bersama hanyalah sekadar kain putih pembalut badan.
Bersamalah kita memperbanyakan amalan soleh kerana inilah sebenarnya harta yang paling berguna dan berfaedah yang boleh membantu semasa kita berada di alam kubur.
Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuannya adalah merupakan permata dan harta yang amat bernilai. Sedarlah kita, peluang untuk hidup di dunia ini hanyalah sekali sahaja untuk seumur hayat dan ianya tidak akan berulang untuk kali yang kedua.
Untuk mereka yang kaya dan mewah bantulah kepada saudara kita yang memerlukan , buat apa kita menimbun harta dan kekayaan yang langsung tidak dapat membantu diri kita sendiri dihari kemudian kelak.
Kuasa, pangkat dan jawatan adalah merupakan suatu amanah dan janganlah disalah guna untuk kepentingan diri sendiri serta menindas, memeras, menipu apalagi untuk menjahanamkan orang yang dibawah. Untuk orang dibawah pula janganlah bercakar-cakaran sehingga terlerainya perpaduan dan ikatan persaudaran yang membawa kepada kemusnahan ummah.
Sebesar dan setinggi mana pun pangkat yang dimiliki serta sekaya dan semewah Qarun pun, pada hakikatnya kita semua sama disisi Allah S.W.T. hanya taqwa dan amal kepada NYA sahajalah yang membezakan kedudukan kita di akhirat kelak.
Sementara kita masih ada kuasa, pangkat dan jawatan janganlah sampai kita tidak boleh menerima teguran dan pandangan orang. Lebih-lebih lagi kuasa dan pangkat tersebut digunakan untuk 'menekan' orang itu dan orang ini puak itu dan puak ini. Main suka ikut hati dan kuasa untuk melakukan apa sahaja yang dingini tanpa mengambilkira pahala dan dosa.
Sehebat dan seluas mana pun pengaruh serta 'empayar' yang dikuasai serta sebijak dan sepandai apa pun yang kita rancang lebih-lebih lagi perancangan yang berniat jahat untuk mengukuhkan pengaruh dan kuasa, itu semua tidak dapat menandingi peraturan dan perancangan yang Allah telah tentukan.
Insaf dan takutlah kita kepada keagungan dan kekuasaanNya yang meliputi seluruh alam langit dan bumi, dan Firaun adalah pengajaran yang amat jelas kepada kita semua yang telah diberikan kekuasaan dan kekayaan sehinggakan menganggap dialah tuhan langsung akhirnya dimusnahkan oleh Allah bersama keangkuhan dan kesombongannya.
Perlakuan manusia seperti itu wujud dan dipengaruhi oleh rasa tamak haloba , angkuh , sombong, hasad dengki bagi mencapai hasrat dan niat untuk mencari kesenangan didunia.
Bagaimana dan dalam keadaan apa cara sekalipun di dalam kita mengejar untuk menjadi orang yang hebat dan memiliki segala-galanya di dunia ini , sebenarnya diri kita sendiri pun bukan kita yang punya dan apa pun yang kita ada ITU BUKAN KITA PUNYA.
Last Updated on Sunday, 06 December 2009 12:25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment