DARJAT... Rumah Suhaili dan rumah rakyat biasa di Kampung Remang.
HAI USTAZ! SEMOGA SEMAKIN TEMBAM?
Written by Admin
Friday, 01 January 2010 15:00
Oleh: ROSLI ALPIN
PENILAIAN masyarakat terhadap kemajuan Kampung Remang sehinggakan mendapat gelaran Mini Putrajaya yang dibina di atas tanah milik keluarga Adun Tungku, Datuk Suhaili Said adalah suatu yang tidak adil terhadap kampung lain di kawasan Tungku.
Sememangnya jika diimbau sejarah lama, apalah yang ada di Kampung Remang ini melainkan tidak jauh bezanya dengan kampung yang ada di sekelilingnya. Tetapi pada saat dan ketika ini, pembangunan yang telah dikecapi oleh kampung ini jauh meninggalkan kampung yang seangkatan dengannya dahulu.
Jangan jadikan slogan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dengan mendahulukan dan memberi keutamaan kepada kampung keluarga sendiri lantas 'menganak-tirikan' kampung lain.
Konsep 'turun padang' yang diamalkan oleh Suhaili seolah-olah hanya bermain di padang sendiri yang telah dinaik taraf menjadi stadium dengan beralaskan rumput karpet serta bermandikan lampu limpah dengan cahaya terang benderang.
Sedangkan masih banyak lagi padang (kampung) yang belum pernah dijenguk oleh YB yang bertaraf Ustaz lulusan Al-Azhar ini, apalagi hendak bermain dengan pemainnya (bertanya khabar serta melihat dan mendengar sendiri luahan rakyat).
Sesibuk mana sekalipun, berikanlah sedikit masa untuk merisik khabar di setiap kampung walaupun hanya sebulan sekali yang kalau direalisasikan, Suhaili sewajarnya telah melawat sebanyak 12 buah kampung dalam setahun tanpa mengambil kira adanya sambutan bunga manggar, paluan kompang mahupun sematan bunga. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun YB telah menyelami dan mengetahui sebanyak 60 buah kampung dan bentuk perubahan yang perlu dibawa di setiap kampung tersebut.
Kalau ditunggu sehingga sampai masanya hendak pilihan raya barulah Suhaili sibuk mengadakan pelbagai program bantuan serta sumbangan sana sini, yang pada ketika itu tugas utamanya bukan lagi tertumpu kepada kemajuan kampung melainkan hanyalah berkempen untuk memperkukuhkan pengaruh untuk lima tahun akan datang lagi.
Adalah mustahil bagi Suhaili boleh menangani permasalahan rakyat dan kampung sekiranya menunggu lima tahun sekali barulah 'turun padang' semata-mata untuk mendapat gelaran palsu ‘YB Berjiwa Rakyat', sebaliknya lebih layak digelar ‘YB Berjiwa Karat’.
Di manakah rasionalnya dalam tempoh 6 tahun hanya satu kampung sahaja dapat dijadikan Mini Putrajaya? Bagaimana dengan Kampung Segangan, Kampung Bikang, Silabukan, Bagahak dan banyak lagi kampung di sebelah Tungku mahu dijadikan mini apa? Mana boleh dijadikan ‘Mini Zoo’ kerana perkampungan tradisi ini bukannya hutan simpan.
Tanpa adanya pembelaan dari Suhaili, harapan untuk melihat kampung lain membangun bersama Kampung Remang yang sudah terkenal dengan jolokan 'Mini Putrajaya' nampaknya tinggal harapan bahkan mensia-siakan harapan rakyat.
Suhaili harus melihat sendiri apa keperluan di sesebuah kampung yang masih belum ada untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat tanpa berharap sangat laporan daripada Pemaju Mukim, Pengerusi JKKKK dan Ketua Kampung yang banyak membuang masa di kedai kopi dan mungkin takut bersuara kerana risau kehilangan jawatan sekiranya membawa permasalahan rakyat kepada Suhali, lalu semuanya melaporkan 'OK' sahaja. Seolah-olah tiada masalah langsung dan tiada apa yang perlu dilaporkan.
Seandainya Suhaili telah terlepas pandang terhadap perkara ini, maka di tahun baru 2010 dan tahun yang mendatang berilah perhatian kepada kampung yang lain pula. Setiap orang memahami bahawa bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan segera, tetapi sekiranya permasalahan rakyat langsung tidak diendahkan sampai bila-bila pun tiada jalan penyelesaiannya.
'Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, bila masanya kita rakyat biasa dapat bersenang-lenang seperti YB Datuk Suhaili yang bertambah tembam?.
Last Updated on Friday, 01 January 2010 17:40
No comments:
Post a Comment