KENDERAAN PRODUA DI TOYOTAKAN?
Written by Admin
Monday, 30 November 2009 14:17
Oleh: ROSLI ALPIN
SUDAH menjadi citarasa, kelaziman serta keinginan setiap pemilik kenderaan untuk mengenakan apa juga bentuk aksesori atau pelekat di badan kenderaan masing-masing bagi menampilkan suatu keunikan dan kelainan dari yang lain.
Namun di manakah kewajarannya sekiranya jenama atau lambang pengeluar turut sama ditukar?. Apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh pemilik kenderaan ini kepada pengguna kenderaan keluaran PRODUA?. Adakah ianya hanya sekadar suka-suka atau ada maksud tersirat dari yang tersurat?
Bermula dari keluaran kenderaan jenis Kancil , Rusa , Kenari , Kelisa , Kembara , Myvi dan Viva PRODUA menggunakan lambang 'P' yang menjadi imej dan identiti kepada keluarannya.
Saya melihat ada suatu kesilapan besar yang berlaku sekiranya lambang 'P' ini digantikan dari kenderaan keluaran PRODUA. Ianya nampak remeh-temeh tetapi ianya juga menyamai pepatah orang-orang tua 'Lembu punya susu Sapi dapat Nama'.
Sepatutnya kita menghargai dan berbangga dengan apa yang kita miliki. Tidak perlulah ditukarganti apa yang telah ada kerana kita yakin kenderaan keluaran Malaysia setanding dari segi mutu dan rekabentuk dengan pengeluar kenderaan dari negara luar.
Bagi pengguna kenderaan PRODUA mereka teramat kenal sangat gambar kenderaan di atas lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan kenderaan jenis Myvi. Cuba kita sama-sama bayangkan sekiranya kenderaan tersebut berpeluang memasuki kawasan Kalimantan Indonesia , jika dilihat dari lambang yang tertera dikenderaan tersebut pasti ada orang yang beranggapan bahawa ianya bukan kenderaan keluaran Malaysia.
Walaupun pada hakikatnya mungkin kita boleh katakan "pedulilah ... ini kenderaan saya punya ... saya punya haklah apa yang saya mahu buat" , tetapi sebagai rakyat Malaysia kita tidak sepatutnya melakukan perkara yang boleh menyebabkan orang lain memandang rendah terhadap keluaran tempatan.
Untuk makluman pembaca, gambar kenderaan Myvi yang menggantikan lambang PRODUA tersebut sempat saya rakam menggunakan telefon bimbit dari arah belakang ketika kami sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Sandakan pada 28/11/2009.
Last Updated on Monday, 30 November 2009 14:50
Saturday, January 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment