Saturday, January 16, 2010


ISU PERODUA DITOYOTAKAN?


Written by Admin

Thursday, 03 December 2009 16:57



Oleh: ROSLI ALPIN

DI SINI timbul sedikit kekeliruan untuk memahami terhadap isu yang saya ingin bawakan mengenai ‘Perodua diToyotakan’. Saya langsung sedikit pun tidak menyebut isu klon mengklon dan jenama menjenama apa lagi hendak mengusul keturunan kenderaan.

Sekiranya para pembaca merenung dengan mata hati maksud yang saya ingin ketengahkan dalam perkara ini ianya berkaitan langsung dengan PENGELUAR kenderaan tersebut. Kerana apa juga lambang yang tertera di kenderaan itulah sebenar pengeluarnya. Apa pun jenis enjin yang digunakan oleh myvi pengeluarnya adalah Perodua. Begitu juga dengan kenderaan lain, masing-masing ada lambang pengeluar.

Pada awal artikel yang saya tulis terdahulu pun menyentuh dengan penggunaan 'aksesori' pada kenderaan yang tidaklah sampai ketahap menidakkan pengeluar kenderaan tersebut. Sebab itulah berani saya katakan ‘Lembu punya susu sapi dapat nama’ dan adakah masih kita boleh menafikan MYVi keluaran PERODUA?

PERODUA YANG MENCIPLAK TOYOTA?


Written by Admin

Tuesday, 01 December 2009 13:06



Saudara Pengarang,

SAYA amat tertarik dengan artikel yang bertajuk ‘Kenderaan Produa Di Toyotakan?’. Penulis sepatutnya tahu asal usul kenderaan PERODUA (Bukan PRODUA ) di klon dari jenama TOYOTA PASSO dan DAIHATSU SIRION serta BOON.

Istilah ‘lembu punya susu sapi dapat nama’ sepatutnya ditujukan kepada pihak Perodua kerana pihak Perodua menggunakan Toyota dan Daihatsu untuk menjadikan myvi. Begitu juga dengan model MPV yang baru dilancarkan yang diberi nama Perodua ALZA. Model sebenar diambil dari Toyota Sette dan Daihatsu Luminas.

Sekian terima kasih.

Junraz ( junraz_73@yahoo.com )

KENDERAAN PRODUA DI TOYOTAKAN?


Written by Admin

Monday, 30 November 2009 14:17





Oleh: ROSLI ALPIN

SUDAH menjadi citarasa, kelaziman serta keinginan setiap pemilik kenderaan untuk mengenakan apa juga bentuk aksesori atau pelekat di badan kenderaan masing-masing bagi menampilkan suatu keunikan dan kelainan dari yang lain.

Namun di manakah kewajarannya sekiranya jenama atau lambang pengeluar turut sama ditukar?. Apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh pemilik kenderaan ini kepada pengguna kenderaan keluaran PRODUA?. Adakah ianya hanya sekadar suka-suka atau ada maksud tersirat dari yang tersurat?

Bermula dari keluaran kenderaan jenis Kancil , Rusa , Kenari , Kelisa , Kembara , Myvi dan Viva PRODUA menggunakan lambang 'P' yang menjadi imej dan identiti kepada keluarannya.

Saya melihat ada suatu kesilapan besar yang berlaku sekiranya lambang 'P' ini digantikan dari kenderaan keluaran PRODUA. Ianya nampak remeh-temeh tetapi ianya juga menyamai pepatah orang-orang tua 'Lembu punya susu Sapi dapat Nama'.

Sepatutnya kita menghargai dan berbangga dengan apa yang kita miliki. Tidak perlulah ditukarganti apa yang telah ada kerana kita yakin kenderaan keluaran Malaysia setanding dari segi mutu dan rekabentuk dengan pengeluar kenderaan dari negara luar.

Bagi pengguna kenderaan PRODUA mereka teramat kenal sangat gambar kenderaan di atas lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan kenderaan jenis Myvi. Cuba kita sama-sama bayangkan sekiranya kenderaan tersebut berpeluang memasuki kawasan Kalimantan Indonesia , jika dilihat dari lambang yang tertera dikenderaan tersebut pasti ada orang yang beranggapan bahawa ianya bukan kenderaan keluaran Malaysia.

Walaupun pada hakikatnya mungkin kita boleh katakan "pedulilah ... ini kenderaan saya punya ... saya punya haklah apa yang saya mahu buat" , tetapi sebagai rakyat Malaysia kita tidak sepatutnya melakukan perkara yang boleh menyebabkan orang lain memandang rendah terhadap keluaran tempatan.

Untuk makluman pembaca, gambar kenderaan Myvi yang menggantikan lambang PRODUA tersebut sempat saya rakam menggunakan telefon bimbit dari arah belakang ketika kami sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Sandakan pada 28/11/2009.

Last Updated on Monday, 30 November 2009 14:50
SILABUKAN, 35 TAHUN SINONIM GURUN SAHARA?


Written by Admin

Sunday, 10 January 2010 14:37






Saudara Pengarang,

SURAT ini saya tujukan kepada Ahli Parlimen Malaysia (Silam) YB Haji Salleh Kalbi, Adun Tungku, YB Ustaz Suhaili Said dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman serta semua jabatan Kerajaan yang terlibat dengan projek pembangunan infrastruktur.

Untuk makluman para YB, setahu saya, penempatan penduduk/peneroka di Rancangan Silabukan bermula seawal 70-an lagi. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak Kerajaan di bawah pemerintahan BN kerana di sepanjang tahun-tahun kehadapan selepas era 80-an banyak perubahan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan di peringkat kampung-kampung termasuklah Rancangan Silabukan Peringkat 1, 2, 3 dan 4 ini.

Di antara pembangunan yang telah dikecapi oleh penduduk/ peneroka ialah penyambungan bekalan elektrik dan menaiktaraf jalan kampung juga tidak terkecuali jalan-jalan masuk di setiap Rancangan tersebut.

Namun saya merayu kepada pihak Kerajaan melalui jasa baik YB-YB agar kami mendapat bekalan air paip yang bersih kerana selama hampir 35 tahun kami hanya bergantung harap pada air hujan semata-mata, bagaikan kampung kami berada di penghujung Gurun Sahara!.

Keperitan ini amat terasa apabila terjadinya musim kemarau yang berpanjangan, kami terpaksa bergegas ke sungai Silabukan yang agak jauh dari penempatan kami dan ianya amatlah menyusahkan kehidupan penduduk.

Jangka masa 35 tahun amatlah terlalu lama untuk bergantung harap kepada air hujan semata-mata dan dalam masa yang sama terpaksa memberi undi kepada calon BN sekalipun terus-menerus menaburkan janji palsu!

Semoga kisah yang dipaparkan ini mendapat rasa simpati di hati YB, lebih-lebih lagi Kerajaan Malaysia kita sekarang ini di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengutamakan konsep 1Malaysia 'Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan' namun gagal diterjemahkan oleh kedua YB ini.

Sekian dan Terimakasih,

ROSLI BIN ALPIN

(Anak Peneroka Rancangan Silabukan Peringkat 4)

Last Updated on Sunday, 10 January 2010 15:34


DARJAT... Rumah Suhaili dan rumah rakyat biasa di Kampung Remang.

HAI USTAZ! SEMOGA SEMAKIN TEMBAM?

Written by Admin

Friday, 01 January 2010 15:00


Oleh: ROSLI ALPIN

PENILAIAN masyarakat terhadap kemajuan Kampung Remang sehinggakan mendapat gelaran Mini Putrajaya yang dibina di atas tanah milik keluarga Adun Tungku, Datuk Suhaili Said adalah suatu yang tidak adil terhadap kampung lain di kawasan Tungku.

Sememangnya jika diimbau sejarah lama, apalah yang ada di Kampung Remang ini melainkan tidak jauh bezanya dengan kampung yang ada di sekelilingnya. Tetapi pada saat dan ketika ini, pembangunan yang telah dikecapi oleh kampung ini jauh meninggalkan kampung yang seangkatan dengannya dahulu.

Jangan jadikan slogan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dengan mendahulukan dan memberi keutamaan kepada kampung keluarga sendiri lantas 'menganak-tirikan' kampung lain.

Konsep 'turun padang' yang diamalkan oleh Suhaili seolah-olah hanya bermain di padang sendiri yang telah dinaik taraf menjadi stadium dengan beralaskan rumput karpet serta bermandikan lampu limpah dengan cahaya terang benderang.



Sedangkan masih banyak lagi padang (kampung) yang belum pernah dijenguk oleh YB yang bertaraf Ustaz lulusan Al-Azhar ini, apalagi hendak bermain dengan pemainnya (bertanya khabar serta melihat dan mendengar sendiri luahan rakyat).

Sesibuk mana sekalipun, berikanlah sedikit masa untuk merisik khabar di setiap kampung walaupun hanya sebulan sekali yang kalau direalisasikan, Suhaili sewajarnya telah melawat sebanyak 12 buah kampung dalam setahun tanpa mengambil kira adanya sambutan bunga manggar, paluan kompang mahupun sematan bunga. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun YB telah menyelami dan mengetahui sebanyak 60 buah kampung dan bentuk perubahan yang perlu dibawa di setiap kampung tersebut.

Kalau ditunggu sehingga sampai masanya hendak pilihan raya barulah Suhaili sibuk mengadakan pelbagai program bantuan serta sumbangan sana sini, yang pada ketika itu tugas utamanya bukan lagi tertumpu kepada kemajuan kampung melainkan hanyalah berkempen untuk memperkukuhkan pengaruh untuk lima tahun akan datang lagi.

Adalah mustahil bagi Suhaili boleh menangani permasalahan rakyat dan kampung sekiranya menunggu lima tahun sekali barulah 'turun padang' semata-mata untuk mendapat gelaran palsu ‘YB Berjiwa Rakyat', sebaliknya lebih layak digelar ‘YB Berjiwa Karat’.

Di manakah rasionalnya dalam tempoh 6 tahun hanya satu kampung sahaja dapat dijadikan Mini Putrajaya? Bagaimana dengan Kampung Segangan, Kampung Bikang, Silabukan, Bagahak dan banyak lagi kampung di sebelah Tungku mahu dijadikan mini apa? Mana boleh dijadikan ‘Mini Zoo’ kerana perkampungan tradisi ini bukannya hutan simpan.

Tanpa adanya pembelaan dari Suhaili, harapan untuk melihat kampung lain membangun bersama Kampung Remang yang sudah terkenal dengan jolokan 'Mini Putrajaya' nampaknya tinggal harapan bahkan mensia-siakan harapan rakyat.

Suhaili harus melihat sendiri apa keperluan di sesebuah kampung yang masih belum ada untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat tanpa berharap sangat laporan daripada Pemaju Mukim, Pengerusi JKKKK dan Ketua Kampung yang banyak membuang masa di kedai kopi dan mungkin takut bersuara kerana risau kehilangan jawatan sekiranya membawa permasalahan rakyat kepada Suhali, lalu semuanya melaporkan 'OK' sahaja. Seolah-olah tiada masalah langsung dan tiada apa yang perlu dilaporkan.

Seandainya Suhaili telah terlepas pandang terhadap perkara ini, maka di tahun baru 2010 dan tahun yang mendatang berilah perhatian kepada kampung yang lain pula. Setiap orang memahami bahawa bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan segera, tetapi sekiranya permasalahan rakyat langsung tidak diendahkan sampai bila-bila pun tiada jalan penyelesaiannya.

'Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, bila masanya kita rakyat biasa dapat bersenang-lenang seperti YB Datuk Suhaili yang bertambah tembam?.

Last Updated on Friday, 01 January 2010 17:40
LEGASI TUN RAZAK KINI SEDANG NAZAK?


Written by Admin


Monday, 26 October 2009 00:18


Oleh: ROSLI ALPIN

PEMBUKAAN rancangan penempatan peneroka di Silabukan Peringkat 1, 2, 3 dan 4 bermula sejak 1972 telah membawa banyak perubahan kepada tapak tamaddun awal Kerajaan Idahan Tua Tag Bangi di Merendung, kira-kira 25 kilometer daripada Bandar Lahad Datu yang sebelum ini dikenali dengan nama Kerugau (Batu Karang).

Para peneroka menikmati pelbagai kemudahan prasarana seperti bekalan elektrik, jalan raya berturap, kawasan perumahan yang selesa, kemudahan perhubungan telefon, klinik kesihatan, sekolah dan sebagainya.

Namun kini sudah hampir 37 tahun rancangan ini diwujudkan, namun penduduk masih bergantung kepada air hujan, telaga dan sungai untuk kegunaan harian disebabkan tidak ada sistem bekalan air paip sekalipun janji berkenaan diperbaharui pada setiap pilihanraya umum.

Pemimpin silih datang dan pergi. Yang pergi belum sempat mengotakan janji, yang baru datang tidak mengetahui janji pemimpin terdahulu sehingga menyebabkan janji berlapik janji bagaikan kek lapis Sarawak yang enak dimakan tetapi sukar dibuat.

Sehubungan itu, para penduduk di empat ranah rancangan penempatan yang bangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) ini merayu ehsan Adun Tungku, Datuk Suhaili Said dan Ahli Parlimen Silam, Salleh Haji Kalbi agar dapat menunaikan janji pemimpin BN sejak pilihanraya umum 1976 untuk membekalkan air bersih yang dirawat.

Penduduk Rancangan Silabukan dan kawasan perkampungan yang berhampiran dengannya pasti mengetahui dan terpegun melihat sebuah menara tangki air besar terpacak megah yang ketinggiannya mungkin mencecah 30 kaki lebih berhampiran dengan jalan persimpangan masuk ke Peringkat 1 yang kalau diperhatikan bagaikan mercu tanda baru untuk Rancangan Silabukan.

Namun persoalannya, tangki berkenaan didirikan hanya untuk kegunaan klinik kesihatan yang berdekatan dan bukannya untuk penduduk kampung yang merintih pedih setiap musim kemarau ketika YB dan Ahli Parlimen mampu menyuci kereta dan mandi tiga kali sehari.

Betapa bertuahnya penduduk setinggan di Kampung Bugis Batu 1 yang menikmati kemudahan air paip walaupun mereka tinggal di kawasan setinggan sedangkan semua peneroka rancangan Silabukan memiliki geran yang sah, namun hanya mampu menikmati air daripada tangki yang berkarat!

Rancangan Silabukan adalah Legasi Tun Razak yang kini sedang nazak namun mampukah anaknya, Perdana Menteri Malaysia ke enam, Datuk Seri Najib meneruskan visinya untuk melihat penduduk Silabukan mendapat bekalan air bersih daripada Pakej Rangsangan RM1 Bilion yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah!

Last Updated on Monday, 26 October 2009 06:34

URUSAN HIDUP DAN MATI KITA TIDAK BERSATU?




Written by Admin
Friday, 23 October 2009 23:31

Oleh: ROSLI ALPIN
MATI adalah perkara yang pasti berlaku kepada setiap manusia dan tempatnya sesudah itu adalah di dalam tanah. Bagi orang Islam tanah perkuburannya adalah di tempat ‘perkuburan orang-orang Islam' baik di bandar mahupun di kampung.
Namun adakah kita sedar atau sengaja tidak mahu sedar bahawa tanah perkuburan orang Islam terutamanya di peringkat kampung tidak diselenggara dengan sempurna jika dibandingkan dengan tanah perkuburan penganut agama lain.

Terdapat kampung di mana tanah perkuburannya tidak teratur, berselerak dan kawasannya diliputi oleh semak samun. Kenapa boleh terjadi sedemikian rupa?. Sebagai perbandingan dan iktibar bersama cuba kita jenguk tanah perkuburan sahabat kita dari penganut agama lain, tanah perkuburan mereka teratur dan bersih.
Ini sudah semestinya ada yang dipertanggungjawabkan untuk bekerja atau 'penjaga kubur' yang tetap dan bergaji, sebab itulah kita sentiasa nampak tanah perkuburan mereka sentiasa teratur dan bersih. Maksudnya ada orang yang sudah mengatur di mana hendak simati dikubur supaya ianya nampak selari dan tersusun dan dibersihkan kawasannya dari ditutupi oleh rumput dan lalang.

Bagi kita pula, siapakah yang patut dan boleh dipertanggungjawabkan di dalam soal begini?. Jikalau agama lain boleh mewujudkan kerjasama dan penyatuan serta boleh pula mengadakan dana untuk mengurus tanah perkuburan demi untuk kebaikan, mengapa kita tidak mengambil contoh bagaimana sistem tadbir urus yang mereka laksanakan. Nampak benar kelemahan kita susah sangat hendak mewujudkan penyatuan apa lagi bekerjasama baik urusan dunia sehinggalah ke urusan akhirat kita tidak BERSATU.

Last Updated on Friday, 23 October 2009 23:34