Thursday, March 4, 2010

ARTIKELKU TIADA UNSUR PROVOKASI

Wednesday, 03 March 2010 21:02


Saudara Pengarang,

ADALAH menjadi tanggungjawab seseorang itu tidak kira apa bangsa dan agamanya untuk berlaku adil bagi semua pihak tanpa ada rasa untuk menyebelahi mana-mana pihak sekaligus boleh menimbulkan ketidakadilan mahu pun penganyaiaan di satu pihak yang lain.

Sebelum ini, pada artikel saya yang telah lalu banyak menyentuh mengenai isu dan masalah yang kami hadapi terutamanya di kawasan zon Tungku berkaitan dengan kemudahan bekalan air paip bersih terawat yang sehingga kini masih belum lagi kami nikmati.

Di sini ingin saya tegaskan bahawa semua bentuk isi kandung dan jalan penulisan artikel yang telah lalu adalah hasil daripada cetusan, idea dan luahan saya sendiri yang mahu melihat agar suatu masa nanti masalah yang di utarakan akan diberi perhatian dan seterusnya dapat di realisasikan di kawasan kami.

Ini bermakna, saya bertanggungjawab sepenuhnya keatas artikel saya yang telah diterbitkan oleh sabahkini selama ini dan ianya tidak dipengaruhi oleh provokasi atau pun hasutan oleh mana-mana pihak sekalipun oleh editor Sabahkini.net sendiri iaitu MUTALIB M.D

Semoga dengan pengakuan dan penjelasan yang saya berikan ini dapat memberi dan meletakkan keadilan kepada semua pihak terutamanya kepada editor sabahkini.net

ROSLI ALPIN

Friday, February 5, 2010




Saudara Pengarang,


JIKA betullah dua YB yang digelar 2S (Datuk Suhaili Said dan Salleh Haji Kalbi) atau ‘Syok Sendiri’ ini bergaduh gara-gara sumbangan dua buah tangki air untuk masjid Al Mukminin di Kampung Remang Lahad Datu yang merupakan keperluan jemaah untuk menunaikan solat, adalah tidak wajar sama sekali Datuk Suhaili Said untuk menolak pemberian tersebut daripada Salleh Haji Kalbi.

Bagi mereka yang tinggal dan berada di kawasan DUN Tungku, kesemua penduduk hanya bergantung harap sepenuhnya kepada air hujan. Sepatutnya mereka berganding bahu dan berusaha sedaya upaya berjuang untuk memberikan serta membekalkan penduduk di kawasan ini dengan bekalan air paip bersih terawat.

Bukan masanya untuk bertengkar apalagi bergaduh kerana mandat dan kepercayaan telahpun diberikan agar kemajuan dan taraf hidup rakyat dapat dibangunkan yang sebenarnya masih lagi memerlukan perhatian dari kedua-dua YB ini.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya mereka tidak sehaluan dan tidak dapat bekerjasama didalam hal yang sebegini kecil. Perbalahan seumpama ini akan merugikan rakyat sekiranya tiada berpenghujung, sedangkan merekalah harapkan rakyat untuk merubah dan membawa kemajuan kampung, kawasan dan daerah amnya.

Apa guna berbalah, betulkanlah niat bekerja untuk rakyat barulah dikira ibadah. Duduk satu bumbungpun boleh bergaduhkah? Apa macambah orang kita ini? Kalau beginilah jalan ceritanya, samalah macam "sekumpulan ketam di dalam baldi saling jatuh menjatuhkan apabila ketam yang lain cuba untuk merangkak naik."

Diringkaskan cerita, bangsa lain sudah maju ke hadapan kita masih lagi di takuk lama. Minum air hujan di dalam tangki yang berkarat ...Alahai YB!

Salam Hormat,

ROSLI ALPIN



Last Updated on Wednesday, 23 December 2009 13:57

Sunday, January 24, 2010

KITA ADALAH HERO ?






Oleh : ROSLI ALPIN

BUKAN bermakna kita sudah menjadi 'hero' apabila kita mengutarakan sesuatu isu lebih-lebih lagi kalau ianya berkait rapat langsung dengan kepentingan dan keperluan masyarakat amnya.

Ada ketikanya seseorang itu perlu menyedarkan dan mengingatkan 'individu' tertentu agar sesuatu perkara tersebut dapat diambil perhatian yang sewajarnya. Sama ada sesuatu permasalahan itu sengaja atau tidak disedari langsung terbiar dan terkubur begitu sahaja tanpa sebarang tindakan yang diambil, maka masalah itu akan berterusan dan berlarutan tanpa berpenghujung.

Di mana silap dan salah sekiranya sesuatu perkara itu diluahkan untuk bukan setakat didengari tetapi memerlukan tindakan dan pembelaan yang sepatutnya lantas ia dianggap sebagai 'hero'?.

Sampai bila masyarakat perlu 'mengunci mulut' tanpa mengetengahkan apa yang terbuku dan terpendam sejak sekian lama?. Pepatah yang berbunyi "Jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilambung ombak" membawa makna tersirat agar kita harus berani menerima dan mendengar kritikan dan teguran walaupun ada di antara kritikan tersebut yang sukar diterima.

Bagi seseorang yang waras dan berfikiran terbuka ia akan pasti menilai sejauh mana kebenaran perkara tersebut sama ada perlu diambil perhatian atau sekadar omong kosong.

Pemerhatian serta penghayatan yang tajam dan baik terhadap sesuatu isu yang dilontarkan amat diperlukan oleh setiap orang supaya penilaian yang akan dilakukannya nanti juga akan menjadi tepat dan baik langsung dapat membezakan mana satu kritikan yang berupa luahan, ketidak puasan hati, kutukan, cercaan atau pun makian.

Di antara kritikan tersebut ambil dan berilah perhatian kepada yang baik dan lemparlah juah-jauh mana yang tidak mendatangkan faedah apalagi jika ianya boleh menjatuhkan martabat seseorang.

Memadailah dengan seseorang itu menyatakan apa yang benar dengan kejujuran tanpa rasa takut dan terancam dan juga tanpa memerlukan ia menjadi seorang 'hero'. Dalam konteks ini, siapa sebenarnya yang berhajatkan untuk menjadi seorang hero, sipengkritikkah atau orang yang mempertahan serta mempertikaikan kritikan terutamanya dia mempertahankan bagi pihak seseorang yang berkemungkinan terdapat kepentingannya disitu?

Janganlah begitu mudah sekali untuk melabel atau menuduh yang kononnya sipengkritik tersebut ingin menjadi terkenal mahu pun dikenali sebagai 'hero' sekiranya ada sesuatu perkara yang hendak diutarakan sedangkan dia sendiri tidak memahami apa pokok pangkal isunya.

Fahami dan perhalusilah apakah tujuan sebenar perkara yang hendak disampaikan sebelum menentukan keputusan lebih-lebih lagi apabila isu tersebut melibatkan kepentingan orang ramai dan bukannya meraih sokongan mahu pun pengaruh dan sekaligus ingin menjatuhkan pihak lain lantas bertindak sebagai 'hero' yang lebih banyak mendatangkan mudarat daripada kebaikan.

Dalam situasi begini sesiapa sahaja boleh mengandaikan bahawa terdapat semacam perasaan dengki dan irihati daripada orang yang melemparkan gelaran 'hero' untuk orang lain tanpa diketahui niat sebenarnya. Kenyataan dan kritikan sebenarnya tidak memerlukan seseorang itu bergelar 'hero' kerana dalam keadaan sebenar ianya tidak memerlukan gelaran tersebut.

Berlainan sekali dengan filem, ia sememangnya memerlukan seorang 'hero' untuk melakonkan watak berpandukan skrip yang telah diatur mengikut arahan pengarah dan jalan ceritanya ada yang menyentuh kehidupan manusia dan ada yang rekaan belaka.

Tetapi harus diingat didalam sesebuah lakonan samada heronya menang atau sebaliknya filem tersebut ada jalan penghujung dan kesudahan ceritanya yang kesemua penonton pastinya faham apa mesej yang hendak disampaikan melalui filem tersebut.

Sedangkan drama dan sandiwara pun ada penyelesaian serta jalan kesudahannya, bagaimana pula dengan realiti kehidupan serta keperluan seharian masyarakat yang mana masih ada perkara lagi yang belum diselesaikan manakala di sesetengah tempat jalan ceritanya pun belum lagi bermula?.

Usahlah bimbang kerana didalam dunia ini semua manusia adalah 'hero' yang kalau ditafsirkan secara lebih meluas lagi hampir sama maksudnya dengan 'pemimpin' yang boleh menjadi hero bagi diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat sehinggalah keperingkat nasional kita semua adalah 'HERO'.

Last Updated on Sunday, 24 January 2010 18:53

Tuesday, January 19, 2010

ADA BLOGGER TANYA SIAPA SAYA?



Oleh: ROSLI ALPIN

RUPA RUPANYA kenyataan dan luahan yang saya tujukan khas terutamanya kepada Adun Tungku, YB Ustaz Suhaili Said dan Ahli Parlimen Malaysia (Silam) YB Haji Salleh Kalbi selama ini berkaitan dengan kesengsaraan dan keperitan penduduk khususnya di kawasan DUN Tungku selama 35 tahun hanya bergantung harap pada tangki air, air perigi serta air sungai yang merupakan sumber utama untuk meneruskan kehidupan seharian telah menyebabkan ada 'orang' tidak berasa senang dan mempertikaikan siapa saya.

Sekiranya sedari kecil lagi perjalanan hidup dan kehidupan lebih-lebih lagi ketetapan saya bukan di daerah Tungku , untuk 'orang' ini lebih baik ikuti sedikit cerita dan kisah kehidupan masyarakat di kawasan tempat saya membesar dan dari mula saya kenal apa itu erti pengorbanan orang tua ( sekitar tahun 70-an) sehinggalah sekarang ini.

Saya adalah salah seorang daripada beribu-ribu anak yang telah dibesarkan di kawasan DUN Tungku ini dan tidak sanggup lagi melihat keperitan yang dialami berhubung dengan masalah air yang kami warisi daripada ibu bapa kami yang sungguh menyayat dan memilukan hati.

Hati siapa tidak pedih dan terharu apabila seorang ayah sanggup berjalan kaki mendukung anak manakala si ibu pula sanggup menyorong kereta sorong yang jauhnya berbatu-batu hanya kerana membawa pakaian kotor untuk dibasuh di sungai serta beberapa gelen kosong untuk bekalan air setakat makan dan minum harian pada musim kemarau kerana tangki air di rumah pada ketika itu sudah kering kontang bagaikan Gurun Sahara.

Dalam penulisan blognya 'orang' ini menyamakan isu yang saya ketengahkan ini sebagai info sampah dan saya telah memburuk-burukan ADUN Tungku yang bersaiz besar. 'Orang' ini mengeluarkan perkataan bagaikan kurang siuman sehinggakan sanggup menyamakan masalah yang kami hadapi selama ini sebagai sampah.

Kemungkinan dia lahir ('orang ini') dan dibesarkan dalam keluarga yang berada dan tidak payah bersusah payah untuk berjalan kaki berbatu-batu jauhnya ke sungai untuk makan, minum dan mandi tatkala musim kemarau melanda.

Sejauh manakah terjejasnya kedudukan dan imej kedua-dua YB ini berhubung dengan kenyataan yang berupa luahan hati seorang anak kampung yang memperjuangkan nasib bangsanya tanpa memikirkan kepentingan individu?

'Orang ini' tidak tahu betapa derita dan sengsaranya kehidupan ibubapa kami selama ini sanggup membesarkan kami dalam keadaan berlapang dada walaupun sebenarnya hati pedih menangis mengharapkan bila masanya lagi bekalan air paip bersih terawat memasuki di setiap rumah di kawasan Tungku ini yang sudah terlalu lama dinanti-nantikan.

Akhir kata untuk 'orang ini,' terimalah pepatah yang baru saya cipta ini "Kalau kau tidak tahu, bertanyalah dengan yang tahu, jangan kau pura-pura tahu yang sebenarnya kau tidak tahu apa yang aku tahu".

Last Updated on Tuesday, 19 January 2010 12:55

Sunday, January 17, 2010

ARTIKEL ' ITU BUKAN KITA PUNYA' CIPTA KENYATAAN


Written by Admin

Wednesday, 09 December 2009 07:19



Oleh: ROSLI ALPIN

KANDUNGAN dan pandangan yang telah dilontarkan melalui artikel 'ITU BUKAN KITA PUNYA' yang tersiar di Sabahkini.net pada 06 Disember yang lalu telahpun di terjemahkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak ketika berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam (07 Disember 2009) yang telah membuka ruang dan peluang kepada rakyat negeri itu untuk menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

(Rujuk HarakahDaily - 08 Disember 2009).

Di antara isi kandungan artikel 'ITU BUKAN KITA PUNYA' tertulis di perenggan ke sepuluh yang berbunyi begini:

"Sementara kita masih ada kuasa, pangkat dan jawatan janganlah sampai kita tidak boleh menerima teguran dan pandangan orang."

Isi kandungan sedemikian adalah untuk mereka yang telah diamanahkan memegang jawatan dari setinggi-tinggi sehinggalah ke serendah rendah jawatan. Baik dia pemimpin, ketua jabatan, kerani sampailah ke jawatan tukang kebun haruslah bersedia untuk menerima teguran. Budaya tegur menegur dan saling nasihat menasihati ke arah kebaikan membawa kepada keadilan dan kesejahteraan bersama.

Berdasarkan pepatah 'yang baik jadikan tauladan dan yang jahat jadikan sempadan' apa kiranya masyarakat kita khususnya rakyat Sabah diberi ruang dan peluang untuk memberikan teguran dan pandangan dan 'orang atasan' sedia menerima dengan hati yang terbuka serta berlapang dada dan sanggup memperbaiki kesilapan sekiranya ada berlaku. Teguran yang membina diibaratkan "ubat yang membalut luka."


ITU BUKAN KITA PUNYA?.


Written by Admin

Sunday, 06 December 2009 11:57

Oleh: ROSLI ALPIN

APA sahaja yang kita kejar dan kita miliki di dunia ini samada harta, kekayaan, kemewahan, pangkat, kuasa serta jawatan sebenarnya buklanlah mutlak milik kita. Di saat meniti usia yang masih berbaki lagi ini mungkin ada di antara kita sudah pun berada di tempat dan kedudukan tersebut.

Ya memang betul, ketika umur masih di kandung badan semua itu adalah menjadi kepunyaan dan kesayangan kita. Siapa pun tidak dapat memastikan esok masih ada untuk kita dan seandainya ditakdirkan kita mati esok, esok masih ada namun kita pula yang sudah tiada.

Rentetan dari peristiwa itu, maka beralihlah pula kekayaan serta kemewahan tadi kepada pewaris yang terdekat iaitu isteri dan anak-anak. Selepas isteri dan anak meninggal dunia, cucu pula jadi pewaris harta dan selepas itu turun lagi kepada cicit dan sesudah itu menjadilah ianya harta turun temurun dan begitulah perjalanan manusia dengan harta-hartanya.

Sesungguhnya tiada apa pun yang boleh kita harapkan dari harta, kekayaan, kemewahan, pangkat, kuasa dan jawatan melainkan semuanya itu hanyalah pinjam-pinjaman buat sementara waktu sahaja dan paling banyak pun harta yang boleh kita bawa mati bersama hanyalah sekadar kain putih pembalut badan.

Bersamalah kita memperbanyakan amalan soleh kerana inilah sebenarnya harta yang paling berguna dan berfaedah yang boleh membantu semasa kita berada di alam kubur.

Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuannya adalah merupakan permata dan harta yang amat bernilai. Sedarlah kita, peluang untuk hidup di dunia ini hanyalah sekali sahaja untuk seumur hayat dan ianya tidak akan berulang untuk kali yang kedua.

Untuk mereka yang kaya dan mewah bantulah kepada saudara kita yang memerlukan , buat apa kita menimbun harta dan kekayaan yang langsung tidak dapat membantu diri kita sendiri dihari kemudian kelak.

Kuasa, pangkat dan jawatan adalah merupakan suatu amanah dan janganlah disalah guna untuk kepentingan diri sendiri serta menindas, memeras, menipu apalagi untuk menjahanamkan orang yang dibawah. Untuk orang dibawah pula janganlah bercakar-cakaran sehingga terlerainya perpaduan dan ikatan persaudaran yang membawa kepada kemusnahan ummah.

Sebesar dan setinggi mana pun pangkat yang dimiliki serta sekaya dan semewah Qarun pun, pada hakikatnya kita semua sama disisi Allah S.W.T. hanya taqwa dan amal kepada NYA sahajalah yang membezakan kedudukan kita di akhirat kelak.

Sementara kita masih ada kuasa, pangkat dan jawatan janganlah sampai kita tidak boleh menerima teguran dan pandangan orang. Lebih-lebih lagi kuasa dan pangkat tersebut digunakan untuk 'menekan' orang itu dan orang ini puak itu dan puak ini. Main suka ikut hati dan kuasa untuk melakukan apa sahaja yang dingini tanpa mengambilkira pahala dan dosa.

Sehebat dan seluas mana pun pengaruh serta 'empayar' yang dikuasai serta sebijak dan sepandai apa pun yang kita rancang lebih-lebih lagi perancangan yang berniat jahat untuk mengukuhkan pengaruh dan kuasa, itu semua tidak dapat menandingi peraturan dan perancangan yang Allah telah tentukan.

Insaf dan takutlah kita kepada keagungan dan kekuasaanNya yang meliputi seluruh alam langit dan bumi, dan Firaun adalah pengajaran yang amat jelas kepada kita semua yang telah diberikan kekuasaan dan kekayaan sehinggakan menganggap dialah tuhan langsung akhirnya dimusnahkan oleh Allah bersama keangkuhan dan kesombongannya.

Perlakuan manusia seperti itu wujud dan dipengaruhi oleh rasa tamak haloba , angkuh , sombong, hasad dengki bagi mencapai hasrat dan niat untuk mencari kesenangan didunia.

Bagaimana dan dalam keadaan apa cara sekalipun di dalam kita mengejar untuk menjadi orang yang hebat dan memiliki segala-galanya di dunia ini , sebenarnya diri kita sendiri pun bukan kita yang punya dan apa pun yang kita ada ITU BUKAN KITA PUNYA.

Last Updated on Sunday, 06 December 2009 12:25


TAUKE BURUNG, PESAN MAMA & 5 SEKAWAN

Written by Admin

Thursday, 29 October 2009 23:29


Oleh: ROSLI ALPIN

DI sebuah Pekan terdapat seorang tauke cina yang mengusahakan kedai menjual pelbagai jenis burung. Pada suatu pagi seorang pelanggan sedang memasuki kedai sambil disambut dengan senyuman oleh tauke burung tersebut.

Sambil memerhatikan begitu banyaknya burung, pelanggan tersebut terpaut dengan dua ekor burung serindit dalam satu sangkar. Seekor burung tersebut rajin dan pandai mengeluarkan pelbagai jenis bunyi-bunyian manakala seekor lagi hanya mampu berdiam diri seperti tidak bermaya lagi.

Si pelanggan tadi berasa terhibur bercampur hairan melihat gelagat dua ekor burung serindit yang sama tapi berbeza tabiat dia memanggil tauke burung tersebut lalu bertanya;

Pelanggan : Tauke , ini burung serindit yang pandai nyanyi berapa harga?

Tauke : Ini burung dia punya harga RM Satu ratus.

Pelanggan : Burung yang diam saja tidak suka nyanyi berapa harga?

Tauke : Ini burung diam ada mahal sikit..., dia punya harga RM Dua ratus lima puluh Ooo..

Pelanggan : Kenapa burung yang pandai nyanyi murah....., yang tidak pandai nyanyi mahal pula ...

Tauke : Haiyaaa... lu mau tau ka?, Ini burung diam yang ajar itu burung satu sampai pandai nyanyi looo... mestilah mahal.



JANGAN LUPA PESAN MAMA

Seorang pemuda yang tinggal di pulau mendapat tawaran kerja di sebuah bandar yang perjalanannya terpaksa menempuhi lautan. Pendek cerita, pemuda tersebut telah dijemput oleh pakciknya untuk kebandar dengan menaiki bot penambang. Bapa pemuda tersebut turut menghantar anaknya ke jeti sehinggalah bot belayar. Sebelum belayar, inilah kata-kata bapa kepada pemuda tersebut;

Bapa : Nak, sampai di bandar jangan lupa pesan mama ya...

Pemuda : Ya Pak.

Si bapa sayu melihat bot yang semakin juah meninggalkan jeti tiba-tiba datang seorang pelancong barat yang berdiri di tepinya sambil meneropong kiri dan kanan. Si bapa kehairanan melihat benda yang menutupi sebahagian muka pelancong itu lalu dia menyapa pelancong tersebut dengan bahasa isyarat yang menunjukkan dia hendak meminjamnya sekejap

Tanpa banyak bicara pelancong tersebut menghulurkan teropong kepadanya. Apabila dia mengenakan ke matanya dan menghalakan benda tu tepat ke bot tersebut, si bapa melihat anaknya sedang tidur duduk, lalu si bapa tersebut bersuara ... Nak, bangun jangan tidur .... jangan lupa pesan mama ya ..

Pelancong di sebelahnya pula merasa hairan sambil geleng kepala apabila melihat si bapa tersebut bercakap seorang diri ...



LIMA SEKAWAN

Pada hari tersebut doktor pakar sakit jiwa terpaksa mengambil keputusan untuk memindahkan lima sekawan pesakit jiwa ke suatu tempat memandangkan mereka ini terlalu agresif dan boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit lain yang ada di situ.

Lalu doktor itu pun menyewa khas sebuah kapal terbang untuk memindahkan mereka berlima. Semasa berada di dalam kapal terbang doktor tersebut duduk di ruang hadapan bersama juru terbang dan pembantunya lima sekawan di tempatkan di ruang penumpang sambil bermain, terpekik telolong dan terlompat sana terlomat sini bagaikan kera kena belacan mengakibatkan jurutebang naik berang dan mengarahkan doktor tersebut untuk menenangkan lima sekawan itu. Tanpa sebarang kata doktor terus saja keb elakang ruang penumpang.

Doktor : Heiii.... jangan kamu main-main dan bising di belakang ni, kalau kamu mau main juga pergi keluar ... (sejurus itu doktor tersebut kembali mengambil tempat duduknya di ruang hadapan)

Selang beberpa minit keadaan menjadi sunyi sepi membuatkan juru terbang merasa pelik dan hairan dan sekali lagi mengarahkan doktor ke belakang memerhati gelagat lima sekawan tersebut.

Setibanya doktor di ruang penumpang, diperhatiknya lima sekawan tadi tiada lagi di tempat duduk masing-masing. Sehabis puas dia mencari di dalam lalu dia memerhatikan keluar melalui jendela kapal terbang dan sambil mulut terngaga dilihatnya ke semua pesakitnya berterbangan dil uar bagaikan burung.

Last Updated on Friday, 30 October 2009 00:05